Syam: Salju Merah

image

Syam: Salju Merah.

Mentari bersembunyi di balik kabut
Hilang jingganya di bayu memuput
Ribuan nyawa diancam maut
Dicincang dingin di dalam ribut.

Bukan salju dingin yang menghiris hati
Kealpaan saudara membungkam simpati
Terkudung tangan untuk memberi
Saudara terkapar dibiarkan mati. More

Musim Bunga Timur Tengah

Mohamed_Bouazizi

Musim Bunga Timur Tengah
(Pada Ulang Tahunnya yang KeTiga)

Telah 3 pusingan mentari dikitari bumi
Sejak mula kuntuman bunga itu bersemi
Semaian tangan wira muda Mohamed Bouazizi.
Semerbak harumnya hingga ke mari.

Bergegar singgahsana penguasa tirani
Terungkailah rantai di keberanian tergari
Setelah tersungkur Zainal Abidin bin Ali
Husni, Gadhafi, dan Ali Abdullah pula mejejaki
Kini Bashar sedang menanti hari.

Kembang itu tadinya kecil saja kelopaknya berseri
Bertukar menjadi bunga gergasi
Menjalar ke setiap istana berpagar duri
Untuk menelan satu persatu manusia Iblis
Sebagai habuan bakti mereka kepada imperialis.

Bouazizi,
Keberanian yang kau gengam
Pengorbanan yang kau hamparkan
Kan menjadi dedaun emas di pohonan zaman
Ditatap puluhan generasi mendatang
Dalam seribu kekaguman.

FM
Disember 2013

Dunia membisu.

Di sini firdausi seindah khayali
menarik mata melirik sejuta
dihiasi kota-kota lama penuh cerita
bak butiran mutiara di kalungan masa.

Sedang di angkasa terbang leluasa
jentera rakus Syaitan Damaskus
mengugurkan api bencana insani
meruntuh tradisi mulia nurani.

Selama empat dekad kezaliman merembat
bahagia penghuninya termamah lumat
kemuncak derita berkunjung akhirnya
tiada beza haiwan, pepohonan dan manusia
semua mangsa tertampar duka. More

Elegi Buat Hamzah al Khatib.

Elegi Buat Hamzah al Khateb.
(Pejuang muda yang gugur angkara kekejaman rejim Bashar al Assad yang membaham musuh-musuhnya tanpa mengenal usia.)

Pernah kau pinta keluargamu
wang untuk si miskin itu
walau mereka menolak
(merekapun miskin juga)
namun kau terus mendesak
lalu keluarlah kata-kata
yang penuh keprihatinan
yang melimpah kasih insan
refleksi kebesaran jiwa
dari dedaun lidahmu
yang masih pucuk itu:

“Kita punya rumah dan makanan
sedang si miskin itu tak punya sesuatu.”

Namun di kubang haiwan
tempat kau dibenam kejam, untukmu
haiwan yang menerkam
kasih dan sayang itu
tak pernah mereka tahu
kerana mereka adalah batu dan kayu
unggun neraka yang buta, pekak dan bisu.

Redup mata dan comel wajahmu
tak jaya membunuh kuman
yang meratah hati mereka
yang hanyir berbau.

More

Aku Yang Sedang Menelan Kecewa.

Aku Yang Sedang Menelan Kecewa.

Telah ku daki tangga kuasa
dengan dorongan
tangan-tangan mereka.

Kepada mereka
Cameron – Tony
Obama – Sarkozy
tak lupa juga
kekasih ku paling seksi
Berlusconi dari Itali
kucupan paling manis
kepada mereka
telah ku beri
…berkali-kali.

Telah ku sambut tangan
atas nama persahabatan
telah ku pelihara hubungan
atas nama kepentingan.

Aku leraikan dakapan ke tubuh rayat
kerana sibuk tanganku merangkul kasihku itu.

Aku tak mendonggak
andai mereka sanggah
aku sedia merangkak
andai mereka kerah
kerana aku adalah kuda
tunggangan pertualangan mereka
di padang pasir utara Afrika.

Sepanjang empat desawara aku
bertenun singgahsana sutera
dari benang-benang sejahtera
yang telah ku rentap kuat
dari kepompong rakyat
hingga bertelanjang bulat
mereka tersayat.

More

Nurani Tak Dia Miliki.

Nurani Tak Dia Miliki.
(Monolog tika terpandang potret Muammar Gaddafi.)

Tersimbah merah
mencucur basah
bumi Umar Mukhtar
diratah khianah.

Tertampar marah
menjulur resah
nurani atar
dicemar serakah.

Tercunggap pengkhianat
menconggak langkah
gelisah mekar
di kesal tak sudah.

More

Obama Suka Makan Sate.

Obama Suka Makan Sate.

Dalam kunjungannya yang lalu
ke Indonesia, negeri saudaraku
Dalam ucapannya, dia berkata;

“Indonesia adalah sebahagian dariku.”

Lalu ada dari saudaraku menyambutnya
dengan berkata;

“Benar, bukankah Obama suka makan sate seperti kita!”

Aku lalu bertanya;

“Adakah itu membuktikan dia sebahagian darimu?”

More

Bukan Obama yang dahulu.

Bukan Obama yang dahulu.
(Mengulas Lawatan Barack Obama Ke Indonesia.)

Dia punya seribu manis kenangan
di benak, tika kanak-kanak
membesar di tanah seribu keberanian
para pejuang mengharungi duri dan onak.

Tanah yang pernah bergegar
dengan laungan ‘Allahu Akbar’
tika Bung Tomo mengobar semangat rakyat
menyambut Belanda dengan jihad.

Dia pernah
membaca al Quran dan solat di surau
bersama rakan-rakan kulit sawo matang bergurau
makan satey dan bakso, berlari-lari di bendang
mengejar kerbau dan kambing ke kandang.

Namun Obama bukan kecil lagi
tak lagi dipanggil ‘Barry’
dia Presiden Amerika kini
walau orangnya sama
tapi punya visi berbeza
walau senyumnya seperti gula
tapi manisnya kini berbisa
tergoda sekali, sengsara selamanya.

More

At Thawra al Arabiya

At Thawra al Arabiya

Ia di Mekah
tidak di Istanbul
Islam berpaksi.

Ia ke Ka’bah
tidak ke Haya Sofia
kiblat solat setiap hari.

Bibit peniup api sengketa
dari yang cuba menaggok di air keruh gelora.

Memuncak bongkak tak terperi
diri dirasa lebih tinggi, Arab mulia atas Turki.

Perisai berabad penuh jasa
mesti diragut dari pemengangnya
kerana Arab mulia atas segala bangsa
bukankah Nabi itu dari mereka?

Di kala itu di pusat nusa
bibit berbisa bercambah mula
oleh lolongan Turki Muda, Turki terbukti lebih mulia
bukankah rebah Byzantin, roboh kota Konstantin
kerana keperkasaan mereka?

Bertamulah 2 saudara
di padang sengketa
ranahnya dirata oleh faham berbisa
duduk berlunjur mereka
berdepan-depan berdua
sambil meludahi muka sesama.

More

Al Quds Tidak Akan Dibebaskan Hanya Dengan Retorik Kosong

Al Quds Tidak Akan Dibebaskan Hanya Dengan Retorik Kosong.

Pada 30 Mei 2010, enam kapal kargo yang membawa 663 orang awam telah berlepas keGaza. Tujuan mereka adalah untuk memecahkan sekatan Israel-Mesir  yang telah melumpuhkan penduduk Gaza, dengan membawa bekalan perubatan, bahan pembinaan dan bantuan lainnya. Angkatan Pertahanan Israel telah menyerang kapal terbesar dari armada bantuan itu, iaitu MV Mavi Marmara di perairan antarabangsa. Sembilan aktivis – semuanya beragama Islam yang tidak bersalah dari Turki  – telah syahid ditembak oleh komando Israel dan puluhan lainnya telah terluka. Reaksi dari Turki adalah memanggil pulang duta besarnya dari Tel Aviv dan menghentikan latihan tentera bersama Israel. Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Negeri Turki, dalam kenyataannya kepada harian Hurriyet Turki, “Israel mempunyai tiga pilihan: Mereka samada meminta maaf atau menerima penyiasatan bebas antarabangsa dan keputusannya. Jika tidak, hubungan diplomatik kami akan diputuskan ..”

Menggunakan Palestin untuk keuntungan politik.

Telah diketahui umum bahawa penderitaan kaum muslimin yang tinggal di Palestin adalah sesuatu yang dekat di hati umat Islam. Penguasa Muslim saat ini tanpa perasaan malu telah menggunakan isu penjajahan Israel sebagai cara untuk mencari keuntungan politik dari umat Islam. Sebagai contoh, Saddam Hussein telah melancarkan peluru berpandu SCUD ke Israel semasa Perang Teluk pada tahun 1991. Kerosakan darinya sangat sedikit tetapi ia merupakan salah satu usaha Saddam untuk meningkatkan sokongan dari umat Islam. Begitu juga, kerajaan Turki, dipimpin oleh AKP, telah menggunakan isu flotila bantuan kemanusian ini untuk mengelakkannya kehilangan lebih banyak sokongan dari pangkalan kuasa politiknya di Turki.

Sejak bulan Mac tahun lalu, AKP telah kehilangan kredibilitinya di kalangan rakyat atas 3 sebab utama:

1. Dengan memburuknya ekonomi yang bermula pada bulan Oktober 2008, Erdogan dengan bersungguh-sungguh meyakinkan rakyat Turki bahawa krisis ekonomi sudah melepasi negara itu. Seiring berlalunya waktu, rakyat tidak melihat sebarang pemulihan ekonomi apapun – bahkan keadaan mereka bertambah buruk.

2. Kegagalan untuk mengembalikan hak-hak umat Islam (iaitu kebebasan untuk memakai tudung di institusi awam) telah meletakkan AKP dalam dilema strategik dalam negeri kerana belum lagi mampu menunaikan janji-janji yang pernah dibuat kepada penyokongnya di peringkat akar umbi.

3. Kegagalan Turki untuk diterima sebagai ahli Kesatuan Eropah.

Dengan ancaman yang boleh menyebabkan ia terpinggir atau dianggap tidak layak memerintah negara itu, AKP sangat memerlukan sesuatu yang mampu memperbaiki masa depan politiknya.

Pada tarikh 28 Januari tahun ini, ketika sebuah NGO Turki yang berdaftar, IHH (Insan Hak ve Hürriyetleri ve Yardım Insani Vakfı), bersama Gerakan Bebas Gaza ( Free Gaza Movement) mengumumkan rancangan mereka untuk menghantar kapal yang penuh bantuan ke Gaza, pengumuman mereka ini dibuat dengan pengetahuan dan sokongan daripada kerajaan Turki kerana MV Mavi Marmara adalah kapal yang dibeli daripada salah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan – IDO Istanbul Fast Ferries Co Inc. Lebih-lebih lagi, mereka telah memulakan pelayaran dari pelabuhan Haydarpaşa Istanbul, dengan persetujuan penuh dari pihak berkuasa Turki.

Setelah insiden yang mengerikan itu di mana 9 orang Islam terkorban dan puluhan yang lainnya terluka oleh serangan komando Israel, kenyataan keras telah dibuat oleh pegawai kerajaan Turki termasuk:

• Presiden Erdogan menyebut insiden itu sebagai “peristiwa berdarah pembunuhan beramai-ramai” dan bahawa serangan itu, “Layak untuk menerima segala jenis kutukan”.

• Pegawai Kementerian Luar Negeri Turki menyatakan bahawa serangan itu boleh mengakibatkan “kerosakan yang tidak boleh diperbaiki” kepada hubungan mereka dengan Israel.

• Zafer Caglayan, Menteri Perdagangan Luar Negeri dan seorang ahli AKP menyatakan, “Sikap tidak berperikemanusiaan dan keganasan negara yang dilakukan oleh Israel boleh menyebabkan jatuhnya angka perdagangan, tidak kira setinggi mana ianya.”

• Ahmet Davutoglu, Menteri Hubungan Luar Negeri Turki memberikan ultimatum kepada Israel untuk meminta maaf, menerima penyiasatan bebas atau menerima akibat dari terputusnya hubungan diplomatik antara Turki dan Israel.

Adalah sangat jelas bahawa tidak satu pun dari ancaman-ancaman ini terlaksana, ia disebabkan dua alasan. Pertama, kita melihat kenyataan yang sama telah dibuat oleh Erdogan di Persidangan Davos selepas pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza pada 2008-2009 ketika itu beliau berkata kepada Presiden Israel Shimon Peres, “Suara anda adalah lantang dan saya tahu itu kerana perasaan bersalah. Apabila ia berkaitan pembunuhan, anda tahu dengan baik cara bagaimana membunuh. Saya tahu betul bagaimana anda menembak dan membunuh kanak-kanak di pantai . Anda mempunyai perdana menteri yang telah mengatakan mereka merasa sangat bahagia saat mereka memasuki Palestin dengan berkereta kebal. ” Erdogan juga mengecam para hadirin yang bertepuk tangan selepas pidato Peres dengan berkata, “Saya juga mengutuk mereka yang bertepuk tangan atas kekejaman ini saya percaya bahawa bertepuk tangan kepada orang-orang yang membunuh kanak-kanak adalah satu jenayah terhadap kemanusiaan ..” Tidak ada satu pun dari kecaman ini terwujud dalam bentuk sebarang tindakan.

Kedua, kita melihat Kerajaan Turki telah secara aktif terlibat dalam hubungan strategik dengan Israel termasuk:

1. Pesawat terbang tanpa awak – Reuters melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Vecdi Gönül menyatakan bahawa, “krisis diplomatik dengan Israel selepas negara Yahudi itu menyerang sebuah konvoi bantuan yang disokong oleh Turki tidak akan menjejaskan rancangan penghantaran ‘Heron’ pesawat terbang tanpa awak buatan Israel ke Turki”

2. Minyak – Sebuah projek saluran paip utama antara Turki dan Israel, yang dikenali sebagai MedStream, sedang berlangsung. Saluran paip itu, apabila terealisasi, akan menyalurkan minyak, gas petroleum cecair dan tenaga elektrik dari pelabuhan Mediterranean Turki Ceyhan ke Israel selatan dan dari sana ke India.

3. Tanah – Tanah yang baru-baru ini telah dibersihkan dari periuk api di antara sempadan Turki-Syria sedang dijual kepada salah sebuah syarikat Israel.

4. Perdagangan – Perdagangan antara Turki dan Israel adalah $ 1.4 bilion pada tahun 2002 apabila AKP berkuasa, dan sejak itu melonjak kepada $ 3.3 bilion pada tahun 2008 – iaitu peningkatan sebanyak 134%.

Pada tarikh 30 Jun – hanya selepas sebulan setelah apa yang disebut Erdogan sebagai ”pembunuhan berdarah” – Menteri Perdagangan dan Industri Israel Benjamin Ben-Eliezer telah bertemu Ahmet Davutoglu di Brussels. Pertemuan ini hanya menyokong fakta bahawa AKP sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan salah satu pun dari ancaman kosongnya kerana ia tidak lebih daripada usaha populis untuk mengembalikan semula sokongan orang Islam.

AKP: kebangkitan Uthmaniyah atau oportunisme politik?

Beberapa media telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menggambarkan kerajaan AKP mempunyai kemiripan dengan Khilafah Uthmaniyah. Lebih khusus lagi, merupakan langkah Turki untuk menguatkan lagi hubungannya dengan negara-negara orang Islam dan setelah berbicara menentang keganasan di Gaza pada 2008-2009 telah memberikan Presiden Erdogan gelaran “Sultan Erdogan” – mirip dengan panggilan Sultan yang diberikan kepada para Khalifah semasa pemerintahan Khilafah Uthmaniyah dahulu. Mari kita lihat bagaimana Muslim yang memerlukan pertolongan dibantu oleh Khilafah Uthmaniyah:

Aceh: Pada awal tahun 1500, Portugis telah menyerang Aceh – kecil tetapi mempunyai kedudukan yang strategik dan terletak di Indonesia. Pada tahun 1547 utusan dari Aceh yang awal menemui Khilafah Uthmaniyah untuk meminta bantuan senjata dan sokongan ketenteraan. Sultan Selim II mengutus sepucuk surat ke Aceh, menegaskan bahawa ia adalah tugas Khalifah untuk menerima permintaan dari para penguasa muslim ketika mereka memerlukan bantuan dalam melawan penjajah. Baginda menyebutkan bagaimana baginda akan menghantar armada dan tenteranya mempunyai tanggunjawab untuk mengusir penceroboh Portugis. sikap hangat Sultan Selim II terhadap penduduk Aceh selanjutnya terserlah apabila baginda memerintahkan kepada gabenor-gabenornya untuk membantu duta besar dan semua utusan Aceh dengan apa cara yang mungkin, tanpa perlu melaporkannya kepada kerajaan pusat.

Algeria: Setelah Algeria membebaskan diri dari penjajahan Sepanyol pada 1517, mereka telah bergabung semula dengan Khilafah Uthmaniyah. Menyedari bahawa Sepanyol akan kembali, Khalifah menghantar Janisari (pasukan pengawal dan tentera peribadi Khalifah), kapal dan meriam sebagai sokongan. Malangnya, Sepanyol datang kembali pada 1518, mengalahkan tentera Uthmaniyah dan membunuh gabenor yang dilantik. Sebagai balasan, Khalifah menghantar Laksamana Hayreddin Barboussa. Di bawah pimpinannya, tentera Uthmaniyah terlibat dalam pertempuran melawan Sepanyol untuk pembebasan tanah kaum muslimin dengan jayanya.

Palestin: Pada tahun 1901, tokoh perbankan Yahudi Mizray Qrasow dan dua pemimpin Yahudi berpengaruh yang lain datang untuk melawat Sultan Abdul Hameed dan menawarkan kepada baginda pelunasan semua hutang yang dibuat oleh Khilafah Uthmaniyyah, membantu dalam membangunkan angkatan laut negara dan memberikan pinjaman sebanyak 35 juta Lira emas tanpa bunga untuk penbendaharaan negara sebagai pertukaran kepada membenarkan orang Yahudi untuk melawat tempat-tempat suci mereka di Palestin dan membolehkan mereka membangunkan pemukiman berhampiran Jerusalem.

Abdul Hameed bahkan menolak untuk bertemu dengan mereka. Dia berkata kepada pembantunya, “Katakanlah kepada orang-orang Yahudi yang tidak sopan itu bahawa hutang negara Uthmaniyah tidak memalukan, Perancis juga mempunyai hutang dan ini tidak memberi kesan kepadanya. Baitulmuqadis menjadi sebahagian dari tanah Islam apabila Umar Bin Alkhattab membebaskan kotanya dan aku tidak akan membawa malu sejarah kerana menjual tanah suci itu kepada orang-orang Yahudi dan mengkhianati tanggung jawab dan kepercayaan dari rakyatku. Yahudi itu boleh menyimpan wang mereka, Uthmaniyyah tidak akan bersembunyi di dalam kota yang dibina dengan wang musuh-musuh Islam. ” Dia juga menyuruh mereka supaya pergi dan jangan pernah kembali untuk bertemu dengannya lagi.

Kemudian pada tahun yang sama, pengasas gerakan Zionis, Theodor Herzl, melawat Istanbul dan cuba bertemu Abdul Hameed. Abdul Hameed menolak untuk bertemu dengannya dan ia memberitahu Ketua Majlis Menteri untuk, ”menasihati Dr Herzl supaya tidak mengambil langkah lebih lanjut dalam projeknya itu. Aku tidak boleh memberikan segenggam pun tanah itu kerana ia bukan milikku, ia milik seluruhnya umat Islam. Umat Islam telah terlibat dalam jihad kerana tanah itu dan mereka telah membasahi buminya dengan darah-darah mereka. Orang Yahudi boleh menyimpan wang mereka yang berjuta-juta itu. Jika Negara Khilafah Islam telah runtuh satu hari nanti, maka mereka boleh mengambil Palestin dengan percuma! Tetapi sementara aku masih hidup!, aku lebih suka mendorong pedang ke tubuhku daripada melihat tanah Palestin dipotong dan dilepaskan jauh dari Negara Islam. Ini adalah sesuatu yang tidak akan dibiarkan berlaku; Aku tidak akan memulakan pemotongan tubuh kita sementara kita masih hidup. ”

Dari contoh di atas, jelaslah bahawa adalah tidak adil untuk membandingkan AKP dengan Khilafah Uthmaniyyah. AKP melolong dengan slogan-slogan kosong, sedangkan Khilafah Uthmaniyyah bertindak berdasarkan Kitab Allah سبحانه وتعالى dan Sunnah Rasulallah صلى الله عليه وسلم untuk membela hak umat mulia ini sehinggalah sampai saat-saat ia dihancurkan.

Sesuatu untuk difikirkan.

Apabila ditinjau rekod lalu kerajaan AKP, dengan hanya menganalisis dasar dan pencapaiannya, serta mengabaikan semua slogan-slogan, retorika kosong dan janji-janji yang dimungkirinya, kita harus bertanya apakah AKP benar-benar berbeza dari penguasa-penguasa umat Islam yang lain? Apakah ia benar-benar melakukan sesuatu untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan dan di tempat lain? Sekurang-kurangnya, telahkah ia memutuskan semua hubungan dengan negara-negara yang menduduki wilayah orang Islam? Berapa lama lagi umat Islam di Turki perlu menunggu sehingga mereka melihat perubahan yang sebenar?

Hanya melalui pembentukan kembali Khilafah ar Rashidah pada kaedah Nabi صلى الله عليه وسلم sahajalah pendudukan asing yang merosakkan itu dapat dihapuskan.

Semoga Allah (swt) memberi kita kekuatan untuk mengubah situasi saat ini kepada yang menyenangkanNya dan dengan cara sebagaimana yang telah Dia perintahkan.

“Imam adalah perisai dari belakangnya kaum muslimin berperang dan melindungi diri mereka. Jika Imam memerintahkan kepada takwa terhadap Allah dan hidayah, dia akan memperolehi pahala yang besar, jika dia memerintahkan kepada yang lain daripada ini dia akan menanggung beban kerananya.” [HR Muslim]

Terjemahan dari http://www.khilafah.com

Previous Older Entries