Haji: Manakah Hilangnya Permata Maknamu?

Haji: Manakah Hilangnya Permata Maknamu?

Di antara pulau bukit-bukit
di balik karang batu-batu
aku mencari kilauan
mutiara-mutiara persaudaraan
yang telah jatuh bertaburan
dari kalung kesatuan
yang terputus berselerakan.

Di hamparan putih lautan tenda-tenda
kesedihan menyelimuti aku yang tergamam
di sunyi hati pecah berderai kaca rasa
melihat permata maknamu jauh tenggelam
ditarik ladung kolektivisme yang padam
ke gelita dasar individualisme yang dalam.

Di muktamar tahunan ini
telah jatuh bertaburan dan berselerakan
erti persaudaraan dalam kesatuan
titipan Junjungan di Haji Perpisahan.

Haji,
tangan-tangan kotor berdosa itu
telah meragut kembang persaudaraan
dari rekah tangkai kesatuan
yang pernah mekar segar dahulu
di jambangan hikmah ritualmu.

Jadilah kau kini…
kuntuman kembang kehilangan seri
sakar madumu tak lagi wangi.

FM
9 Zulhijjah 1430 H

Advertisements

Sekapur Sirih Buat Jemaah Haji.

Sekapur Sirih Buat Jemaah Haji.

Kau harus bersyukur sepenuh hati
kerana kau kini bergelar tetamu Ilahi

Aku tahu pengorbananmu
untuk sampai ke situ
besar sekali
meninggalkan kampung halaman
dan mereka yang kau cintai.

Aku juga tahu perjalanan ini
mungkin, seumur hidupmu hanya sekali.

Oleh itu saudaraku
jangan kau lepaskan kesempatan ini
jayakanlah ibadahmu seluruh diri
kerana tiada kemulian yang tertinggi
dari bersujud di hadapan Tuhan Yang Abadi.

More

Puisi Kubang Siasah – A Aziz Deraman

Puisi Kubang Siasah.

Anak muda itu kini dewasa
akal bicara terobos buana
bermain lambung gelombang
selalu berlari di pesisir watan
tegak asalnya di permatang
baca siasah nusa
tegur mundur bangsa
jabat tangan langkah berani
masuk medan bakti pertiwi.

Adat berlari jatuh bangun
terantuk termenung
hati mahu maknakan siang
rasa mahu tafsirkan malam
hayat tidak mesti panjang
tergelincir diri terhumban
tanpa diduga bergelumang
jatuh ke kubang siasah hitam
berlumpur keyakinan awam
apakah dia hilang pedoman
asyik pukul gendang kosong
jual suara keliling kampung.

A AZIZ DERAMAN
Taman Melewar, Kuala Lumpur

Al Hambra: Mutiara Berlokan Duka.

450px-Alhambra-Granada-Hall_of_Ambassadors

  

 

 

  

 

 

 

 

 

 

 

Al Hambra: Mutiara Berlokan Duka.

(Ilham dari harapan perjuangan ketika menatap foto Al Hambra yang terpenjara kesepian di bumi Andalusia.)

Monumen duka puncak Teres
tersergam kemerah-merahan
mengamit rindu perpisahan
senandungkan syair menghiris
mengetuk hati pemuda harapan
untuk bangkit membebaskan
mutiara kilauan zaman
di tangan kotor berkurun tertawan.

Aliran Darro sederas derai air mata
biar sinar mentari Granada mendakap mesra
kesayuan menatap menyapa jua
menyebak dada
membakar gelora
semangat dan cita…

Jejalur cahaya di sela jendela Dewan Duta
memancarkan seribu warna nestapa
tembok dan 13 menara
menjulur lambai ke udara
secemas tangan-tangan lemas meronta
minta diangkat dari banjir derita.

More