Episod Khianat di Lembah Swat

 

Lembah nan indah
lembah nan ramah
kini merah
bermandi darah.

Lapan Mei dua ribu sembilan
istiadat merafak sembah kepada situan.

Agar terbukti taat tiada berbelah
darah saudara dihirup diratah
dari cangkir permata noda bertatah.

More

Bahagia Atau Lara

Matahari hidup mula redup
dilitup awan nafas terhirup.

Menyongsong titik waktu ditentu
cuma, ya cuma, bagaimana ia tenggelam
masih lagi dalam gengam.

Yang tergengam kini
hanya modal berbaki
andai bijak mempertaruh
masih bisa bahagia seluruh.

Bila gengam telah terlerai
tak guna  seribu keluh
dan tangis berderai
kerana gelangang taruh
telah melabuh tirai.

Fikrul Mustanir
2 Jamadil akhir 1430

Demokrasi itu telah lama mati.

“… matinya demokrasi.”
Tajuk besar Harakah Daily
mengiringi kemenangan Dr Zambry.

Kenapa?
Baru sedar kini?

Bagi kami
demokrasi itu telah lama mati
sejak hari pertama muncul di bumi
terpancut dari rahim ibunya, akidah sekularisme
dibidani cendikiawan syaitan
dalam kegelapan zaman pertengahan.

More

HARU BIRU

HARU BIRU

Sayu menerpa laju
di lembah kotor berbau
muda-mudanya kuyu
tua-tuanya layu.

Populasi nafsi-nafsi
kesibukan hidup paksi hari
keluar pagi pulangnya malam
hanya untuk beras segengam.

Cacat dan lemah terpaksa berproduksi
jika tidak mati sendiri.

Hidup nekad kepalang mati
fikir cemerlang tak sempat lagi
bujur lalu melintang patah
sana-sini menjilat menipu merasuah.

Di hujung usaha perut mesti mengening
najis bersepah kepala tak pening.

More

Dadah: Umpan Penderitaan

Dadah: Umpan Penderitaan

Sapaan pertama nikmat
Dengan haruman kembang setaman
Sapaan seterusnya laknat
Sumpah seranah penyesalan.

Sentuhan pertama bahagia
Dengan warna-warna penghias khayalan
Sentuhan seterusnya derita
Keluh kesah kesengsaraan.

Kecapan pertama surga
Dengan gemersik petikan kecapi
Kecapan seterusnya neraka
Api pemusnah harga diri.

Dari puncak kemuliaan
Kau seret pemujamu ke lembah kehinaan

Dari gedung kemanusiaan
Kau sesatkan korban ke rimba kebinatangan

Dari samudera kehormatan
Kau hanyutkan bahtera ibunda ke lubuk keserakahan

Dadah!
Kau adalah syaitan yang menjanjikan kepalsuan.
More

Sengketa monyet dan kera

Sengketa monyet dan kera.

Terkasima aku
melihat monyet dan kera
berkelahi terlompat terkinja
berebut pisang dosa bernoda
di negeri Dato’ Maharajalela.

Berpencak berperang
si monyet jurus bergayut di aturan reput
si kera kekuda terkinja menyembah raja.

Sengketa dimula si monyet Behrang
berperut gendut kuat temberang
bersama rakan bermukah curang
menjengguk kera di pintu belakang.

Gegak gempita seluruh rimba
berkata si monyet tua
“Mari kita goncang Bukit Gantang!”

More

Warkah Hari Guru 2009

Warkah Hari Guru 2009

Ke hadapan pelukis yang melakarkan
rona ragam manusia masa hadapan

“Selamat sejahtera, cikgu!”
Kalimat itu masih tergiang di telingaku
walaupun baju seragam sekolahku
yang dahulu ku pakai setiap hari, telah ketat kini.

Cikgu,
Ah, terlalu besar nama itu
di setiap lurah dan lembah
di setiap teratak dan rumah
di setiap pelusuk kota dan desa
jasamu pasti ada bertahta di sana.

Cikgu,
Kata mereka kau ibarat pelita
tapi bagiku kau lebih dari itu
pelita akan padam bila minyaknya tiada
tapi kau adalah permata kalbu
bercahaya tanpa kehabisan minyak dan sumbu
selama kau masih bergelar GURU.

Cikgu,
Cuma satu pesan
 ringkas tapi ikhlas dariku
jangan sekali kau kencing berdiri
kelak pelajarmu kencing berlari.

Cikgu,
Jadikanlah warkah ini, prosa berharga
untuk tidak berkongsi dosa.

Terima kasih, cikgu!

Yang mengenang jasamu,
aku

FM
Mei 2009
Nota:

مَنْ سَنَّ فِي الإ سْلاَ مِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَ جْرُهَا وَأَ جْرُ مَنْ
عَمِلَ بِهَا ، وَ مَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعَلَيْهِ ِوزْرُ هَا وَوِزْرُ
مَنْ عَمِلَ بِهَا

“Barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam sunnah yang baik, maka bagi dia pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya. Barangsiapa yang mencontohkan sunnah yang jelek, maka atasnya dosa dan dosa orang yang mengerjakannya.”  [HR.Muslim]

Previous Older Entries